BERCAKAP tentang ibu dan anak tiri, samalah seperti dialog popular
arwah Ibrahim Pendek mari kita lihat siapa yang kena!!, dalam filem
Ali Baba Bujang Lapok arahan P. Ramlee. Itu cerita Hadzri dalam e-mel
dan ketika kami berbual di telefon tentang pengalaman pahitnya beribu
dan beradik tiri.
Pengalaman pahit Sheryzahida minggu lalu membuat dia terkenang kisah lebih 35 tahun lalu.
Walaupun umur saya kini 45 tahun tetapi kami senasib.
Namun bukan semua ibu tiri jahat, malah ada ibu tiri yang didera
anak-anak tiri. Dalam hal macam inilah jika anak-anak tiri cekap, ibu
tiri yang terkena. Sebaliknya jika ibu tiri cekap, anak-anak tiri akan
terkena dan hidup menderita.
Dapat ibu tiri cekap" seperti saya adik beradik lalui, maka apa
sahaja katanya akan benar di mata ayah. Kesusahan hidup bermula bila ibu
diceraikan. Ketika itu saya baru berusia 5 tahun. Saya ada tiga orang
kakak dan abang.
Oleh kerana ibu tak bekerja, maka dia terpaksa bawa kami ke rumah
opah untuk dibesarkan. Waktu itu kami tak kisah ibu bercerai sebab
kasihan ibu sering dimarah dan kena pukul. Kami suka ayah tak ada
asalkan ibu tak terseksa.
Tetapi kami tak tahu ada masalah lain lebih besar lagi. Kehadiran
kami menambah beban hidup opah yang memang sedia susah. Opah menoreh
getah, lepas itu ibu ambil alih untuk besarkan kami. Tetapi tak sampai
dua tahun, ibu jatuh sakit dan meninggal dunia. Tinggallah kami dengan
opah.
Cuba pembaca bayangkan nasib dan kehidupan kami ketika itu. Opah
yang tua terpaksa menoreh getah untuk besarkan kami. Waktu itu kakak
baru berusia 15 tahun, kakak kedua 13 tahun dan seorang abang berusia 10
tahun.
Apa yang menyedihkan kami, ayah tidak pernah ambil tahu tentang
kehidupan kami adik beradik, walaupun jarak rumah ayah dengan rumah opah
cuma enam kilometer saja. Ketika mula bersekolah, banyak benda yang
tidak mampu opah sediakan. Saya dan abang pernah pinjam basikal kawan
pergi jumpa ayah, harapan kami minta sedikit wang untuk beli buku dan
pakaian sekolah, tetapi tak pernah berhasil. Ayah takut dengan
isterinya, tak berani bersuara, tak seperti dengan ibu ayah suka
tengking dan pukul.
Ketika itu ayah sudah ada anak baru, mula-mula seorang akhirnya
bertambah empat. Sedihnya kami jarang dapat jumpa ayah. Kalau dapat
jumpa pun, biasanya kami pulang tangan kosong. Ketika itu kami macam
yatim piatu.
Kata opah dia tidak ada daya upaya membiayai persekolahan kami adik
beradik. Untung kakak sulung dapat tamatkan pelajaran hingga tingkatan
lima, sementara dua lagi kakak dan abang terpaksa berhenti sekolah, cari
kerja.
Walaupun ayah-ayah saudara (anak-anak opah) ada hulurkan bantuan,
hanya cukup untuk beli makanan sebab mereka pun bukan orang senang dan
ada tanggungan, mereka bantu hingga kami dapat makan pun sudah cukup
baik. Untuk belanja sekolah memang perit, sekolah jauh, nak naik bas
perlukan duirt, mana nak cari.
Walaupun ayah kata dia tak ada duit, tetapi kami tanggungjawabnya.
Susuh-susah hidup ayah mereka anak beranak boleh minum milo, sedangkan
kami nak minum kopi manis pun susah, biasanya teh o kosong. Tunggu
hingga ayah saudara hantar duit pada opah baru kami merasa kopi manis.
Pernah juga kami dapat duit dari ibu tiri seringgit dua, itu pun
kadang-kadang. Agaknya dia suruh kami balik cepat kerana tak selesa
tengok muka kami. Sebab kami kata nak tunggu sampai ayah balik. Tetapi
apa yang boleh saya buat dengan duit sebanyak itu pada awal 80-an?
Tambang bas ke rumah ayah pun sudah seringgit pergi balik.
Kakak kerja tak lama sebab kahwin dengan tentera. Tak lama lepas
itu nenek meninggal dan saya terpaksa ikut kakak tinggal di rumahnya.
Dua lagi kakak dan abang pun terpaksa berhenti sekolah, cari kerja untuk
hidup. Dah nasib kami.
Boleh dikatakan saya bukan sahaja dibesarkan oleh kakak dan abang
ipar, tetapi diberikan pelajaran hingga tingkatan lima. Agaknya kerana
keikhlasan mereka tanggung saya anak yatim, kini hidup mereka cukup
senang, suaminya dah berpangkat tinggi.
Bila kami adik-beradik nak kahwin, perkataan yang keluar dari mulut
ibu tiri, biarlah mereka ada duit"...apa maksud cakapnya, pembaca
fikirlah sendiri.
Setelah berkahwin dan ada anak, bila cuti atau hari raya, saya akan
ke rumah ayah dan tinggal beberapa hari. Tujuannya hendak bermesra
dengan ayah sebab ayah dah tua dekat 80 tahun. Tetapi anak-anak boleh
bezakan layanan opah tiri. Kesimpulannya mereka sedar kehadiran mereka
tidak disenangi.
Tidak mahu serabutkan fikiran, maka saya kurangkan balik kampung
dan kalau balik pun untuk beberapa jam dan tak sanggup lagi bermalam di
rumah ayah.
Saya cuba hubungi ayah, bercakap dengannya melalui telefon tapi
biasanya tak dapat gara-gara ibu tiri. Alasannya telefon jauh, ayah tak
boleh bergerak. Macam-macam lagi.
Moral ceritanya daripada pengalaman saya ini, ibu tiri tetap ibu
tiri. Banyak kesan buruk pada anak-anak yang beribu tiri. Ada antara
mereka jadi sangat sensitif, cepat kecil hati dan buruk sangka serta
paling teruk jadi pendendam.
Kini setelah dewasa dan berkeluarga, saya amat menghargai sebuah
keluarga bahagia. Saya berjanji akan memelihara dan menghargai keutuhan
dan kebahagiaan keluarga supaya kekal abadi.
Hanya mereka yang senasib tahu betapa susah dan deritanya anak-anak yang beribu tiri.
Nasihat saya kepada ayah-ayah di luar sana, jika terpaksa berkahwin
lagi kerana kematian isteri atau sebab-sebab lain, fikirkanlah nasib
anak-anak terutama yang masih kecil.
Kepada anak-anak yang telah dewasa dan punya hidup sendiri,
ditakdirkan ibu atau bapa telah meninggal dunia dan orang tua yang
tinggal ingin berkahwin lagi, relakanlah. Sekurang-kurangnya ada yang
membantu jika dia sakit pening dan jadi teman bersembang. Itu cerita
Hadzri tentang pengalaman beribu tiri.




